SPRM tahan Datuk Seri disyaki kemuka tuntutan palsu RM60,000
Sinar Harian
Oktober 3, 2023 14:42 MYT
Oktober 3, 2023 14:42 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan seorang bekas pengerusi sebuah koperasi bergelar Datuk Seri kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM60,000.
Sumber berkata, suspek berusia lingkungan 60-an dipercayai ditahan kira-kira jam 2 petang pada Isnin ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.
"Suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada tahun 2020 hingga 2021 ketika memegang jawatan sebagai pengerusi koperasi berkenaan.
"Suspek dipercayai mengemukakan tuntutan pembayaran khidmat nasihat bagi projek di Johor dan bayaran pendahuluan bagi projek pembangunan bercampur di Kuala Selangor sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan," katanya.
Susulan penahanan tersebut, SPRM telah membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret 1 Kuala Lumpur pada Selasa.
Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim membenarkan perintah reman selama tujuh hari sehingga 8 Oktober.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian