SPRM tahan bekas Ahli Lembaga Pengarah UniMAP

Adie Sufian Zulkefli
Julai 15, 2020 13:00 MYT
Suspek dipanggil oleh SPRM pada malam Selasa bagi memberi keterangan dan ditahan sejurus selesai memberikan keterangan. - Astro AWANI
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas Ahli Lembaga Pengarah UniMAP Holdings atas dakwaan menyalah guna kuasa membabitkan penyewaan bangunan komersial bernilai lebih RM1 juta pada 2015.
Menurut sumber, suspek yang berusia 47 tahun dan seorang peguam ditahan pada jam 10 pagi semalam di ibu pejabat SPRM negeri selepas dia hadir bagi keterangan berhubung kes berkenaan.
Suspek menggunakan kuasanya sebagai Ahli Lembaga Pengarah ketika itu bagi mendapatkan hasil sewaan bernilai lebih RM1 juta ke atas bangunan di Sungai Cucoh, Padang Besar yang didakwa diuruskan firma guamannya pada 2015.
Dia dipanggil oleh SPRM pada malam Selasa bagi memberi keterangan dan ditahan sejurus selesai memberikan keterangan.
Sementara itu, di Kompleks Mahkamah Kangar, suspek tiba kira-kira jam 9.30 pagi dengan berbaju lokap SPRM berwarna oren dengan menaiki kereta jenis Suzuki Swift.
Bagaimanapun, kira-kira setengah jam kemudian suspek dilihat keluar daripada perkarangan mahkamah dengan menaiki Toyota Yaris berwarna putih.
Difahamkan suspek dibebaskan selepas permohonan reman ke atasnya ditolak Mahkamah Kangar dan dia dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Sementara itu, Pengarah SPRM, Suzeliyana Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
#Kangar #Kedah #kereta #mahkamah #Rasuah #salah guna kuasa #SPRM #suspek #UniMAP
;