SPRM tahan ahli lembaga pengarah disyaki kemuka butir matan palsu RM500,000

Bernama
Ogos 27, 2024 05:45 MYT
Individu bergelar Datuk berusia lingkungan 40-an, ditahan kira-kira 4.30 petang Selasa ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan. - Foto fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis menahan seorang ahli lembaga pengarah sebuah syarikat berkaitan pertanian, yang disyaki mengemukakan dokumen palsu untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan berjumlah kira-kira RM500,000.
Menurut sumber individu bergelar Datuk berusia lingkungan 40-an, ditahan kira-kira 4.30 petang Selasa ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan.
"Suspek dipercayai melakukan kesalahan tersebut sekitar awal tahun 2020 bagi mendapatkan kemudahan pembiayaan berjumlah kira-kira RM500,000 daripada sebuah bank pertanian, bagi tujuan membiayai kos tetap dan operasi penanaman ubi kayu dan pisang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan individu itu dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas diambil keterangan.
-- BERNAMA
#SPRM #ahli lembaga pengarah #dokumen palsu #kemudahan pembiayaan