SPRM tahan ahli jawatankuasa persatuan penjaja terima rasuah

Astro Awani
Ogos 16, 2023 12:30 MYT
Suspek dipercayai ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam ketika hadir memberikan keterangan di SPRM Kuala Lumpur. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ahli jawatankuasa sebuah persatuan penjaja kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM27,000.
Sumber berkata, rasuah berkenaan dipercayai diterima daripada seorang pemilik syarikat pembinaan sebagai dorongan membantu syarikatnya mendapatkan lesen sementara daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya, peniaga terlibat bagaimanapun telah diambil tindakan oleh pihak PBT walaupun dikatakan telah membayar wang kepada suspek.
"Suspek lelaki itu dipercayai menerima wang suapan melalui beberapa pindahan wang ke akaun bank syarikat miliknya sekitar bulan Jun hingga Julai 2022," katanya.
Sumber itu berkata, suspek dipercayai ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam ketika hadir memberikan keterangan di SPRM Kuala Lumpur.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.
#SPRM #Rasuah #Persatuan Penjaja #pbt