SPRM tahan 8 individu bantu siasatan tuntutan palsu RM186,000

Adie Sufian Zulkefli
Mei 14, 2020 13:27 MYT
Kesemua suspek yang berpakaian biasa diiringi pegawai dan anggota SPRM tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Alor Setar, kira-kira jam 10 pagi. - Gambar Astro AWANI
Mahkamah Majistret Alor Setar memerintahkan dua pengurus bersama lapan kakitangan kejuruteraan sebuah kilang direman tujuh hari bagi membantu siasatan membabitkan tuntutan palsu dianggarkan bernilai lebih RM186,000.
Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Alor Setar, Rashidah Azmi, bermula hari ini hingga 20 Mei.
Kesemua suspek berusia antara 39 hingga 45 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Terdahulu, kesemua suspek yang berpakaian biasa diiringi pegawai dan anggota SPRM tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Alor Setar, kira-kira jam 10 pagi.
Difahamkan, suspek ditahan di Kulim Hi-tech dan di Pejabat SPRM negeri antara jam 10.30 pagi semalam hingga 10 malam tadi.
Kesemua suspek didakwa mengemukakan tuntutan palsu berkaitan pembekalan alat ganti mesin berjumlah lebih RM186,000.
Mereka didakwa berpakat dengan syarikat pembekal melakukan kesalahan tersebut antara Ogos sehingga Oktober 2019, namun tiada alat ganti dibekalkan kepada kilang berkenaan.
#alat ganti mesin #Alor Setar #Kulim #mahkamah #Mahkamah Majistret #Malaysia #siasatan #SPRM #suspek #tuntutan palsu
;