SPRM tahan 46 anggota sindiket bolos pintu sempadan negara libatkan pegawai Imigresen
Fareez Azman
November 17, 2020 13:16 MYT
November 17, 2020 13:16 MYT
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melumpuhkan aktiviti rasuah melibatkan sindiket menyalahgunakan pengesahan cop keluar dan masuk sempadan utama negara.
Ia selepas tertangkapnya 46 individu dipercayai ahli sindiket itu dalam operasi besar-besaran dijalankan pada Isnin.
Menurut Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali, operasi khas yang dinamakan OPS SELAT itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia.
“Risikan dan pemantauan telah dibuat selama enam bulan ke atas ahli-ahli sindiket yang beroperasi di pintu masuk dan keluar utama negara khususnya di KLIA, KLIA 2 dan Bangunan Sultan Ismail (BSI) Johor Bahru.
“Dalam operasi yang dilancarkan semalam seramai 46 orang telah ditangkap di sekitar Putrajaya, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.
“Ahli-ahli sindiket yang ditangkap termasuk 27 orang pegawai JIM, 14 ejen pekerja asing dan lima orang awam yang bertindak sebagai orang tengah,” katanya dalam satu satu kenyataan.
Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 46 tahun.
Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching bagi perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
Pemantauan SPRM mendapati sindiket telah menjalankan aktiviti itu sejak setahun yang lalu dan dipantau sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan pada 18 Mac lalu.
“Aktiviti rasuah di kalangan anggota sindiket menjadi lebih rancak sepanjang PKP dikuatkuasakan.
“Sindiket ini menumpukan pekerja asing dan pekerja tanpa izin yang terkandas di negara ini akibat PKP. Banyak permintaan daripada majikan untuk melanjutkan tempoh izin berada di negara ini dan permintaan pekerja asing atau PATI untuk pulang ke negara asal mereka,” katanya.
Katanya lagi, modus operandi sindiket terbabit adalah menerusi dua kaedah iaitu pertama, flying passport atau pasport terbang, di mana ejen-ejen akan mengumpul pasport pekerja-pekerja asing atau PATI yang menggunakan pas lawatan sosial untuk bekerja yang telah tamat tempoh untuk dicop keluar dan masuk bagi membolehkan visa lawatan disambung.
Difahamkan ejen akan membawa pasport sahaja ke pejabat imigresen tanpa kehadiran pemilik pasport sebagai pengesahan keluar atau masuk sepertimana yang disyaratkan.
Manakala modus operandi kedua sindiket dengan mensasarkan PATI yang disenarai hitam dan tamat tempoh visa perjalanan terutama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2).
Setiap PATI akan dikenakan bayaran antara RM500 hingga RM6,000 bagi mendapatkan cop sempadan supaya bebas masuk dan pulang ke negara masing-masing.
"Ini merupakan isu kebocoran pintu negara yang serius. SPRM amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh Ketua Pengarah JIM dalam pertukaran maklumat berhubung sindiket ini," jelas Pengarah Siasatan SPRM itu.
#SPRM
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#Malaysia
#Mahkamah Majistret
#Imigresen
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
#Pengarah Siasatan SPRM
#Norazlan Mohd Razali