SPRM tahan 37 penguat kuasa, sekongkol bawa masuk warga asing melalui pintu masuk udara

Astro Awani
September 13, 2024 17:12 MYT
Suspek ditahan menerusi Op Pump 2.0 yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor semalam - Foto SPRM
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seramai 37 pegawai agensi penguat kuasa kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket yang membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menggunakan modus operandi 'Counter Setting' atau 'laluan kaunter khas'.

Ringkasan AI
  • Penahanan Pegawai Penguat Kuasa: SPRM telah menahan 37 pegawai penguat kuasa yang disyaki bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing melalui pintu masuk udara negara menggunakan modus operandi Counter Setting atau laluan kaunter khas.
  • Rampasan Wang Tunai dan Barangan Berharga: Dalam operasi ini, SPRM menemui wang tunai lebih RM1 juta dan menyita barangan kemas, jongkong emas, dinar emas, jam tangan berjenama, kereta, motorsikal, dan telefon bimbit pelbagai jenama.
  • Tindakan Reman: Majistret di beberapa negeri telah membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman pegawai penguat kuasa yang terlibat selama lima hingga tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata kesemua suspek ditahan menerusi Op Pump 2.0 yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor semalam.
Katanya, mereka yang ditahan membabitkan 27 lelaki dan 10 wanita berusia lingkungan 20 hingga 40-an yang kini disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
"Menerusi operasi ini, SPRM turut menemui wang tunai keseluruhannya berjumlah lebih RM1 juta iaitu lebih RM500,000 daripada seorang suspek di Pahang, lebih RM200,000 daripada suspek di Selangor, lebih RM170,000 daripada suspek di Johor serta lebih RM100,000 daripada suspek di Negeri Sembilan.
"Wang tunai ini dipercayai diperoleh hasil daripada rasuah yang diterima daripada sindiket yang membawa masuk warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) dan Terminal 2 (KLIA2)," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata SPRM juga turut menyita barangan kemas termasuk jongkong emas dan dinar emas, pelbagai jam tangan berjenama, kereta dan motorsikal selain telefon bimbit pelbagai jenama.
Sementara itu, di Putrajaya, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin telah membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman sembilan pegawai penguat kuasa membabitkan lima lelaki dan empat wanita selama lima hari sehingga 17 September 2024 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Di Selangor, Majistret Nur Syuhada Abdullah membenarkan lapan pegawai penguat kuasa lelaki dan tiga pegawai penguat kuasa wanita direman selama lima hari sehingga 17 September 2024 selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Sementara itu di Negeri Sembilan, seramai tujuh pegawai penguat kuasa lelaki direman selama tujuh hari sehingga 19 September 2024 selepas permohonan dibuat SPRM di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali di Mahkamah Majistret Seremban.
Manakala di Melaka, tiga pegawai penguat kuasa lelaki dan seorang pegawai penguat kuasa wanita direman juga selama lima hari sehingga 17 September 2024 selepas permohonan dibenarkan oleh Majistret Nabila Nizam di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.
Selain itu, di Kuala Lumpur, Majistret Haneefa Ariffin membenarkan empat penguat kuasa lelaki direman selama enam hari sehingga 18 September 2024.
Tiga lagi pegawai penguat kuasa membabitkan dua wanita dan seorang lelaki dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka selesai dirakamkan.
#Azam Baki #rasuah pegawai penguat kuasa #pintu masuk udara #SPRM
;