SPRM tahan 2 individu termasuk penguat kuasa terima suapan lebih RM100,000

Astro Awani
Ogos 16, 2023 10:41 MYT
Kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 1 tengah hari tadi di pejabat SPRM Selangor dan SPRM Pahang ketika hadir untuk memberi keterangan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki disyaki menerima rasuah kira-kira RM105,000 bagi tujuan mendapatkan surat jaminan kemasukan warga asing ke Malaysia untuk bekerja sebagai pelaut.
Sumber berkata, warga asing terbabit bagaimanapun dipercayai bukan bekerja sebagai pelaut apabila tiba di Malaysia.
"Suspek pertama berusia 30-an merupakan anggota penguat kuasa manakala suspek kedua yang berusia 40-an merupakan pemilik syarikat dipercayai telah melakukan kesalahan tersebut dari bulan September hingga Disember 2022.
"Kedua-dua suspek dipercayai ditahan kira-kira jam 1 tengah hari tadi di pejabat SPRM Selangor dan pejabat SPRM Pahang ketika hadir untuk memberi keterangan," katanya di sini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 17 (b) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor esok untuk permohonan reman.
#SPRM #Rasuah #penguat kuasa #pekerja asing