SPRM tahan 16 individu disyaki terlibat rasuah membabitkan pendaftaran kelahiran

Astro Awani
Mac 12, 2025 10:45 MYT
Anggota SPRM ketika membuat serbuan ke atas beberapa premis termasuk klinik dan firma guaman sekitar Lembah Klang dan Johor. - Foto SPRM
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 16 individu kerana disyaki terlibat rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, SPRM telah melancarkan Op Outlander dan Op Birth semalam membabitkan serbuan ke atas beberapa premis termasuk klinik dan firma guaman sekitar Lembah Klang dan Johor.
Bagi Op Outlander, suspek utama merupakan penjawat awam disyaki melakukan perbuatan tersebut dengan membantu permohonan sebagai pendaftaran lewat kelahiran iaitu untuk yang melebihi tempoh 60 hari selepas kelahiran.
“Dipercayai kegiatan ini turut didalangi oleh seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri yang memiliki beberapa buah klinik dan pusat bersalin yang berperanan mengeluarkan dokumen pengesahan kelahiran palsu.
"Untuk Op Birth pula, tiga suspek utama disyaki sebagai ejen melakukan perbuatan tersebut dengan menawar dan memberikan rasuah kira-kira RM18,000 kepada seorang penjawat awam bagi membantu permohonan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan seperti surat pengesahan kelahiran hospital yang didapati palsu," katanya.
Sementara itu, enam orang awam disyaki menggunakan khidmat ejen berkenaan turut ditahan kerana menjadi pemohon yang mengemukakan permohonan daftar kelahiran.
Turut ditahan seorang pengamal undang-undang disyaki sebagai orang tengah di antara ejen dan pemohon.
“Seramai 16 suspek berusia antara 20 hingga 70-an telah ditahan antara jam 11 pagi hingga 8 malam semalam dan kesemua dibawa ke Ibu Pejabat SPRM dan SPRM Selangor bagi membantu siasatan dan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor esok bagi tujuan permohonan reman pagi ini.
"Bagi dua suspek termasuk bergelar Datuk Seri yang mempunyai masalah kesihatan telah dilepaskan dengan jaminan SPRM apabila selesai dirakam percakapan.
“Serbuan yang dilakukan semalam adalah berpandukan maklumat hasil risikan kira-kira setahun serta kerjasama dan perkongsian maklumat antara SPRM dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” kata beliau.
Ahmad Khusairi berkata, penangkapan ini mencerminkan komitmen teguh SPRM dalam memastikan usaha memerangi rasuah khususnya yang melibatkan perkhidmatan awam demi memastikan aspek keselamatan negara terjamin.
Kata beliau lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009.
#SPRM #Op Outlander #Op Birth #Ahmad Khusairi Yahaya
;