SPRM syor kerajaan gubal peruntukan salah laku penjawat awam

Astro Awani
Februari 12, 2015 20:00 MYT
HADENAN: Penalti yang sedia ada kini hanya mencadangkan supaya jangan buat rasuah, ia terlalu simple.
Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan satu peruntukan berkaitan salah laku penjawat awam digubal dengan segera.
Peruntukan itu dilihat membolehkan usaha pencegahan rasuah dapat dilaksanakan dengan holistik dan menyeluruh.
Pengerusi panel, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil, berkata peruntukan itu membolehkan masalah ketirisan dan pembaziran dalam pengendalian kewangan agensi kerajaan dapat ditangani.
“Panel merasakan tindakan ataupun penalti yang dikenakan atas kakitangan awam tidak setimpal dengan komitmen. Penalti yang sedia ada kini hanya mencadangkan supaya jangan buat rasuah, ia terlalu ‘simple’.
“Kalau seseorang ketua jabatan mendapati dia ada tanggungjawab integriti keatasnya, dia mesti memandang serius ke atas ini,” katanya pada sidang media khas PPO SPRM di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini hari ini.
Hadenan mengambil contoh, sebahagian besar kes yang dilaporkan dalam laporan Ketua Audit Negara adalah mengenai pembelian barang dengan harga yang mahal hingga menimbulkan persepsi berlaku rasuah serta penyelewengan.
Pada masa yang sama, PPO melihat peruntukan sedemikian sangat penting bagi mengambil tindakan ke atas penjawat awam yang tidak amanah serta sambil lewa dalam menjalankan tugas, tetapi dalam kebanyakan situasi tidak dapat dikenakan tuduhan di bawah undang-undang rasuah dan penyelewengan secara langsung.
Selain itu, Hadenan yang mempengerusikan panel sejak enam tahun lalu, menyifatkan imej dan reputasi SPRM berada pada tahap baik dengan pencapaian menyelesaikan beberapa kes dalam tempoh itu.
“Melihat dalam enam tahun ini, telah ada banyak penambahbaikan. Pertama, saya lihat peningkatan pada imej SPRM. Pastinya ada berapa kes besar, tapi telah diselesaikan. Saya rasa orang ramai berpendapat SPRM merupakan institusi yang boleh diharapkan,” katanya.
#Panel Penilaian Operasi #penjawat awam #peruntukan #salah laku #SPRM
;