SPRM siasat sumber kekayaan Tengku Adnan
Astro Awani
Mac 5, 2020 17:00 MYT
Mac 5, 2020 17:00 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat dari mana sumber kekayaan Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, beliau sudah mengarahkan pegawainya membuka kertas siasatan terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu.
Menurut Latheefa, SPRM memandang serius kekayaan Tengku Adnan seperti yang didakwa beliau berjumlah hampir RM1 bilion di mahkamah semalam.
“SPRM memandang serius perkara ini dan saya sudah memberikan arahan supaya siasatan dimulakan,” kata Latheefa kepada wartawan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.
Kata Latheefa, apa yang menjadi keutamaan siasatan SPRM ialah bagaimana Tengku Adnan memperoleh aset-aset yang mencecah nilai sedemikian.
“Isu kita bukan pendedahan aset tetapi bagaimana dia dapat aset itu. Saya sudah berikan arahan untuk mulakan siasatan,” kata beliau lagi.