SPRM siasat pemimpin kanan di utara tanah air

Umavathi Ramayah
April 28, 2024 18:14 MYT
SPRM mengesahkan siasatan sedang dijalankan berhubung perkara tersebut. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin kanan di utara tanah air disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki melantik beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan dengannya bagi projek pembekalan melibatkan peruntukan kira-kira RM300,000.
Sumber memberitahu, pemimpin itu juga disyaki melantik beberapa syarikat bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan jalan yang melibatkan peruntukan Pejabat Menteri Besar kira-kira RM1 juta, di mana syarikat-syarikat tersebut mempunyai kepentingan dengan anaknya.
Beliau berkata, projek-projek tersebut juga dipercayai dimonopoli oleh anak pemimpin tersebut dengan menggunakan beberapa lesen syarikat di bawah kawalannya.
“Kesalahan tersebut dipercayai dilakukan dari Januari 2023 hingga Mac 2024 dan syarikat-syarikat tersebut turut disyaki telah mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran matan palsu bagi kerja-kerja tersebut selain diberikan komisen kira-kira lima peratus daripada nilai projek.
“Setakat ini sebanyak 15 buah syarikat telah dikenal pasti dikawal oleh anak pemimpin tersebut dan antara kerja-kerja yang dilakukan adalah melibatkan pembekalan air mineral serta pembekalan hamper dan cenderahati,” kata sumber tersebut.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan sedang dijalankan berhubung perkara tersebut.
Sebelum ini lima individu termasuk anak Menteri Besar Perlis ditahan SPRM berhubung kes membuat tuntutan palsu berjumlah hampir RM600,000 baru-baru ini.
Mereka bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan.
#SPRM #pemimpin kanan di negeri utara #anak MB Perlis #projek
;