SPRM siasat jika ada unsur rasuah dalam pencemaran Sungai Gong

Hasimi Muhamad
September 8, 2020 06:56 MYT
Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan dijalankan bagi meneliti unsur-unsur rasuah melibatkan mana-mana pihak termasuk agensi penguat kuasa. - Gambar fail/Astro AWANI
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan berhubung isu pencemaran Sungai Gong, Rawang, di sini, yang dipercayai menjadi punca kepada gangguan bekalan air di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.
Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan dijalankan bagi meneliti unsur-unsur rasuah melibatkan mana-mana pihak termasuk agensi penguatkuasa.
“SPRM meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan isu berkenaan untuk tampil memberi kerjasama dengan suruhanjaya ini,” demikian menurut SPRM dalam kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, polis menahan empat pemilik kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang.
BACA: Dua pekerja kilang direman bantu siasatan pencemaran bau Sungai Gong
BACA: Pencemaran sungai: Agong zahir dukacita, mahu hukuman lebih berat dikenakan
Memetik laporan media, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, semua suspek lelaki yang berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun itu ditahan dalam operasi sekitar 11 malam, Jumaat lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, syarikat pengurusan Air Selangor memaklumkan bekalan air di sekitar Lembah Klang mengalami gangguan selepas penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang disebabkan pencemaran bau.
#air #gangguan air Lembah Klang #Klang #Kuala Lumpur #Media #Pencemaran Sungai Gong Rawang #polis #SPRM