SPRM siasat isu integriti libat pegawai kanan Mara
Astro Awani
Februari 5, 2022 20:34 MYT
Februari 5, 2022 20:34 MYT
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Dalam satu kenyataan, SPRM berkata, pihaknya telah menerima satu aduan berkaitan isu berkenaan dan akan memulakan siasatan Isnin depan.
Katanya, SPRM akan mengambil keterangan beberapa saksi daripada MARA Corporation.
"SPRM memandang serius dakwaan wujudnya isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi berkenaan," kata kenyataan itu.
Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 yang berkaitan dengan kesalahan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk mendapatkan suapan.