SPRM siasat dokumen berkaitan dakwaan rasuah pemimpin kanan UMNO
Sinar Harian
April 13, 2022 13:54 MYT
April 13, 2022 13:54 MYT
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti lanjut dokumen berkaitan untuk siasatan terhadap seorang pemimpin kanan UMNO yang dikatakan terlibat skandal rasuah.
Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Timbalan Pesuruhjaya, Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan untuk tindakan susulan.
"Setakat ini SPRM sedang meneliti dokumen-dokumen berkaitan yang mengaitkan pemimpin berkenaan dengan kes rasuah.
"Kita masih belum menetapkan tarikh untuk beliau hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi direkod keterangan. Berkenaan perkara itu, ia bergantung kepada siasatan kita nanti," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada Selasa, media melaporkan satu siasatan telah dimulakan SPRM terhadap seorang pemimpin kanan UMNO yang dikatakan menerima rasuah.
Siasatan itu dilakukan SPRM selepas satu laporan diterima agensi itu oleh Ketua Penerangan UMNO Cawangan Setapak Jaya 1A, Bahagian Setiawangsa Kuala Lumpur, Datuk Halim Rahmat baru-baru ini.
Laporan yang dibuat pada 6 April lalu meminta SPRM menyiasat dakwaan oleh sebuah portal berita yang mengaitkan tuduhan rasuah dengan pemimpin berkenaan.
Dakwaan tersebut membabitkan isu rasuah berkaitan projek pembalakan dan pajakan tanah di Negeri Sembilan sekitar 2008 hingga 2010 di mana wang rasuah didakwa digunakan untuk membeli aset di luar negara.
*Artikel asal di Sinar Harian