SPRM seru kerjasama semua pihak tingkatkan skor Indeks Persepsi Rasuah

Astro Awani
Januari 25, 2022 18:35 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyeru semua pihak untuk menjalin kerjasama dalam meningkatkan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI). - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyeru semua pihak untuk menjalin kerjasama dalam meningkatkan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Seruan itu dinyatakan badan berkenaan susulan pengumuman CPI 2021 yang menunjukkan skor Malaysia turun daripada 51 ke 48 iaitu penurunan berturut-turut sejak 2019.
"SPRM menyeru semua pihak agar meneruskan jalinan kerjasama dan sehaluan di samping mempunyai iltizam politik untuk menambah baik usaha pencegahan rasuah di negara ini kerana Suruhanjaya ini tertakluk kepada bidang kuasanya sebagai agensi penguat kuasa," kata SPRM dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
SPRM dalam masa sama akan mengkaji hasil penemuan TI-M berkaitan skor CPI 2021 dan memberi cadangan dalam masa terdekat.
BACA: Indeks Persepsi Rasuah: Malaysia jatuh lagi, kali ini dari 57 ke tangga 62 pada 2021
BACA: Ini lapan faktor penyumbang kemerosotan Malaysia dalam CPI 2021
Buat pertama kalinya sejak 2012, Malaysia dikelompokkan antara dua pertiga negara dengan skor di bawah 50 daripada 100, hanya skor 48 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2021.
Skor yang rendah itu juga menjadikan kedudukan Malaysia dalam CPI 2021 jatuh ke kedudukan 62 berbanding tangga ke 57 pada 2020.
#SPRM #Rasuah #Indeks Persepsi Rasuah #CPI 2021
;