SPRM sedia siasat dakwaan salah laku ahli lembaga penasihat DBKL
Sinar Harian
Januari 29, 2025 11:30 MYT
Januari 29, 2025 11:30 MYT
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia menyiasat sekiranya terdapat unsur rasuah berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkaitan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini tiada siasatan dibuka oleh pihaknya berhubung dakwaan itu.
"Kita bersedia menyiasat sekiranya dapatan siasatan dalaman DBKL menunjukkan ada unsur-unsur rasuah dan salah guna kuasa," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum itu, media melaporkan DBKL melakukan siasatan dalaman berhubung dakwaan terbabit.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dilaporkan berkata, pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan unit integriti DBKL berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif bernilai RM4 juta, yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.
Kata Maimunah, beliau membuat keputusan tersebut kerana mendapati kosnya terlalu tinggi dan projek terbabit mungkin tidak mematuhi proses perolehan yang betul.
Dimaklumkan, DBKL juga masih mengumpul maklumat dan bukti berhubung perkara itu sebelum memutuskan tindakan seterusnya termasuk membuat laporan kepada SPRM.
Dakwaan salah laku membabitkan ahli lembaga penasihat itu mula tular di media sosial sejak Selasa. - Sinar Harian