SPRM sedang siasat dakwaan kementerian dikawal 'anak menteri' - Tun Mahathir
Firdaus Azil
November 21, 2018 18:36 MYT
November 21, 2018 18:36 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dakwaan terdapat aktiviti kementerian yang dikawal oleh anak kepada Menteri berkenaan.
“MACC is investigating... (SPRM sedang menyiasat),” katanya ringkas kepada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Pejabat Perdana Menteri di sini, hari ini.
Baru-baru ini, sumber memberitahu Astro AWANI bahawa anak kepada menteri berkenaan dikatakan mengawal aktiviti kementerian, termasuk menentukan proses pemberian tender kepada syarikat yang berkaitan.
Pemeriksaan menunjukkan individu berkenaan tidak disenaraikan dalam direktori Pejabat Menteri.
Sementara itu, kementerian berkenaan ketika dihubungi, enggan memberi sebarang kenyataan balas, dan hanya berkata biar SPRM melakukan siasatan dahulu.