SPRM sangkal dakwaan kes salah guna kuasa tiga pegawai Mara Corp akan digugur

Fareez Azman
Jun 14, 2022 13:34 MYT
Menurut Azam, siasatan yang dijalankan sebelum ini mendapati terdapat keterangan yang memadai untuk pertuduhan dibuat terhadap beberapa individu.- Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyangkal dakwaan sebuah portal kononnya kes salah guna kuasa membabitkan tiga pegawai Mara Corp akan digugurkan.
Sebaliknya tegas Azam, pihaknya telah menjalankan siasatan dan telah mencadangkan agar beberapa individu dituduh.
Bagaimanapun, pihaknya masih menunggu maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara.
"Kita telah hantar ke Jabatan Peguam Negara untuk dikaji dan seperti yang lepas kita mencadangkan untuk dituduh beberapa pihak dalam kes ini.
"Jadi setakat ini tidak ada sebarang maklumat dari Jabatan Peguam Negara mengenai tiada pihak dituduh, jadi saya tiada komen mengenai kes ini tidak dituduh," katanya ketika ditemui media dalam Majlis Anugerah SPRM 2021 di Putrajaya pada Selasa.
Tambah Azam, siasatan yang dijalankan sebelum ini mendapati terdapat keterangan yang memadai untuk pertuduhan dibuat terhadap beberapa individu.
"Dari pihak kami telah menyiasat dan pada pandangan kami ada keterangan memadai dan mencukupi untuk pertuduhan terdahadap beberapa pihak," katanya lagi.
Pada 5 Februari lalu, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu sebelum menyerbu dan merampas beberapa dokumen daripada Mara, Mara Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat pada 7 Februari.
#Azam Baki #SPRM #MARA Corp #Rasuah
;