SPRM sahkan tiada bayaran RM80 oleh penjaga pintu di PPV Midland

Hafizi Rosli
Ogos 6, 2021 11:59 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada sebarang bayaran dikena oleh penjaga pintu untuk mendapatkan vaksin di Pusat Program Vaksin Pekerja Industri (PPVIN) Midland seperti yang didakwa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada sebarang bayaran dikena oleh penjaga pintu untuk mendapatkan vaksin di Pusat Program Vaksin Pekerja Industri (PPVIN) Midland.
Ia selepas SPRM menghantar pasukan pegawai risik bagi memantau tohmahan yang mendakwa penjaga pintu di Pusat pemberian Vaksin (PPV) itu mendapat sejumlah wang rasuah sebanyak RM80 bagi setiap orang yang ingin mendapatkan vaksin.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, SPRM turut mengesahkan kejadian berlaku di PPV Pusat Konvensyen Midlands dan bukannya SACC, Shah Alam seperti didakwa.
PPV Midlands dijadikan Pusat Program Vaksin Pekerja Industri (PPVIN) iaitu sebahagian daripada inisiatif Program lmunisasi lndustri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).
Dilaporkan terdapat masalah pada sistem di mana janji temu untuk individu juga terselit di PPV Midlands ini yang mengakibatkan kesesakan.
Kesesakan pula berlaku daripada tindakan pekerja asing hadir tanpa janji temu bagi mencuba nasib untuk mendapatkan vaksin.
Beberapa hari lalu, tular di media sosial satu video memaparkan segerombolan individu dipercayai bukan warganegara Malaysia telah beratur panjang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sehingga menyebabkan kesesakan di PPV itu.
Justeru, SPRM menasihatkan orang ramai untuk melaporkan terus apa-apa maklumat berhubung rasuah dengan menghubungi mana-mana pejabat SPRM dan bukannya menghebahkan di media sosial.
Sumber Facebook MACCFORCE
#Pusat Pemberian Vaksin #pekerja asing #PPV #Rasuah #SPRM #vaksin #PPVIN #COVID-19 #SOP #shah alam #video #video tular
;