SPRM sah tahan timbalan pengerusi negeri sebuah parti politik
Astro Awani
Februari 17, 2021 00:08 MYT
Februari 17, 2021 00:08 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menahan seorang timbalan pengerusi negeri sebuah parti politik kerana disyaki menerima rasuah daripada beberapa syarikat yang memperoleh projek daripada sebuah kementerian pada 2019.
Selain menahan ahli politik yang mempunyai kaitan dengan seorang bekas menteri itu, SPRM turut menahan dua pengarah syarikat dalam operasi yang dijalankan di sekitar Ipoh, pada Selasa.
"SPRM dalam serbuan itu merampas wang berjumlah RM1.2 juta dipercayai wang rasuah disimpan di rumah dan pejabat proksi kepada bekas menteri dan timbalan pengerusi terbabit.
"Beberapa akaun syarikat dan individu berjumlah RM77 juta juga telah dibeku untuk tujuan siasatan," katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, SPRM turut merampas sebuah kereta mewah digunakan bekas menteri terbabit sebagai kenderaan rasmi dan dipercayai milik seorang daripada pengarah syarikat yang diluluskan projek berkenaan.
"SPRM masih menjalankan siasatan berhubung perkara itu dan meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu," katanya.