KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan seorang bekas pengarah sebuah jabatan kerajaan negeri kerana dipercayai telah meminta dan menerima rasuah lebih RM1.2 juta membabitkan kerja-kerja perkhidmatan daripada dua buah syarikat.

Menurut sumber, lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu ditahan di pejabat SPRM Sabah di Kota Kinabalu kira-kira jam 10 pagi Rabu.

Katanya, lelaki itu yang kini berkhidmat dengan sebuah agensi kerajaan lain disyaki menerima habuan itu sebagai balasan memberi projek perkhidmatan penundaan di jabatan tersebut antara tahun 2017 hingga 2018.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan itu.

Beliau berkata, bekas pengarah itu disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"Suspek di jangka dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu dalam masa yang terdekat," katanya.