SPRM reman tiga hari dua penguatkuasa JIM atur kemasukan warga asing

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 19, 2024 11:50 MYT
Perintah tahanan reman terhadap lelaki dan wanita berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Muhamad Qayyum Noordin selepas permohonan dibuat SPRM Pulau Pinang di Mahkamah Majistret George Town pagi tadi.
GEORGE TOWN: Dua pegawai agensi penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) direman tiga hari sehingga 21 Oktober bagi membantu siasatan kerana dipercayai bertindak mengatur kemasukan warga asing menerusi laluan kaunter khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
Perintah tahanan reman terhadap lelaki dan wanita berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Muhamad Qayyum Noordin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Pulau Pinang di Mahkamah Majistret George Town pagi tadi.
Kedua-dua pegawai agensi penguat kuasa terbabit di siasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Terdahulu, kedua- duanya yang diiringi pegawai SPRM tiba di pekarangan mahkamah pada jam 10 pagi dengan memakai baju lokap berwarna oren.
Media pada Jumaat melaporkan kedua- dua mereka ditahan selepas hadir di Pejabat SPRM Pulau Pinang bagi merakamkan keterangan, kira-kira jam 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang.
Tangkapan terhadap kedua-dua pegawai agensi penguat kuasa itu adalah susulan tangkapan seorang lelaki warga Bangladesh di sebuah hotel di sekitar negeri ini, kira-kira jam 9 malam Khamis.
Kedua-dua pegawai terbabit dipercayai telah bersekongkol dengan lelaki warga Bangladesh berkenaan yang bertindak sebagai ejen bagi mengatur laluan masuk seorang warga Indonesia tanpa melalui pemeriksaan sepatutnya.
Siasatan awal mendapati, lelaki Bangladesh bersama pegawai lelaki berkenaan telah meminta wang kira-kira RM4,500 daripada seorang lelaki Indonesia yang tiba dengan pesawat melalui LTAPP pada 22 September lalu sebagai balasan membantunya masuk ke negara ini.
Lelaki warga Indonesia terbabit kemudian meminta tempoh untuk menyediakan wang berkenaan sebelum diarahkan pergi ke satu kaunter khas yang dijaga seorang pegawai wanita bagi urusan masuk ke negara ini tanpa melalui pemeriksaan sepatutnya.
Susulan itu, SPRM Pulau Pinang semalam menahan lelaki warga Bangladesh terbabit selepas dia menerima wang kira-kira RM2,000 daripada seorang wanita warga Indonesia.
Lelaki warga Bangladesh itu direman selama tujuh hari sehingga 24 Oktober ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret George Town semalam dan dia disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.
#SPRM #penguatkuasa JIM #reman #warga asing
;