SPRM reman pegawai kanan MAHB

Astro Awani
Ogos 7, 2018 05:14 MYT
Suspek berusia 59 tahun itu ditahan di pejabat MAHB di Bayan Lepas, pada jam 2.20 petang Isnin. -Astro AWANI
GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pegawai kanan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) selama lima hari hingga Sabtu ini.
Pegawai Eksekutif Komersial MAHB itu direman kerana disyaki menerima rasuah bagi menyokong atau mencadangkan sewaan tapak perniagaan di ruang legar Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar, Muhammad Azam Md Eusoff di Mahkamah Majistret Georgetown hari ini bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Difahamkan pegawai itu disyaki menerima suapan di antara RM500 hingga RM2,000 bagi setiap kelulusan tapak sewaan berkenaan.
Suspek berusia 59 tahun itu ditahan di pejabat MAHB di Bayan Lepas, pada jam 2.20 petang Isnin.
Semalam, SPRM menahan dua individu kerana disyaki meminta dan menerima suapan secara bulanan di antara RM500 sehingga RM10,000.
BACA: SPRM tahan dua pegawai MAHB bantu siasatan kes rasuah, salah guna kuasa
Ia dipercayai sebagai dorongan untuk menyokong, meluluskan dan memperbaharui permohonan sewaan tapak perniagaan di lapangan terbang. Menurut sumber, kedua-dua individu yang merupakan pengurus dan pegawai eksekutif di Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) ditahan secara berasingan.
Katanya, pengurus yang berusia 50 tahun itu ditahan pada jam 1.15 tengah hari di pejabat SPRM Selangor.
#SPRM #MAHB #Rasuah #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #SPRM 2009