SPRM reman 8 pegawai penjara terlibat rasuah

Astro Awani
Mac 6, 2019 12:15 MYT
Kesemua suspek direman mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. - Astro AWANI
Lapan pegawai penjara ditahan reman selama enam hari sehingga 11 Mac ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang berhubung kes menerima wang rasuah yang dianggarkan bernilai lebih RM120,000.
Turut direman seorang wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai pemandu kereta sapu yang didakwa bertindak sebagai orang tengah di dalam kes terbabit.
Kesemua suspek direman mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar, Muna Maria Azmi di Mahkamah Majistret George Town hari ini.
Terdahulu, kesemua pegawai penjara berusia antara 25 tahun dan 44 tahun itu tiba di perkarangan Mahkamah George Town diiringi anggota SPRM kira-kira jam 10.30 pagi.
Kesemua mereka ditahan di sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Pahang antara jam 9.45 pagi dan 10.30 pagi Selasa.
Pemandu kereta sapu warga Indonesia yang berusia 45 tahun itu ditahan pada jam 9.50 pagi.
Siasatan awal mendapati kesemua pegawai penjara tersebut telah menerima wang suapan dianggarkan bernilai lebih RM120,000 daripada pemandu tersebut.
Pemandu itu bertindak sebagai orang tengah sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kemasukan barangan terlarang ke dalam penjara.
#Indonesia #Mahkamah Majistret #Rasuah #SPRM #suspek
;