SPRM reman 2 lagi individu kes kartel perolehan baja bernilai RM60 juta

Astro Awani
Oktober 31, 2024 17:45 MYT
Perintah reman selama lima hari dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya Syahrul Sazly Md Sain terhadap kedua-dua suspek hari ini.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua lagi individu termasuk pengerusi syarikat warga asing yang dipercayai ditawarkan projek pembelian baja padi oleh sebuah pertubuhan pertanian.
Perintah reman selama lima hari dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya Syahrul Sazly Md Sain terhadap kedua-dua suspek hari ini.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki yang berusia kira-kira 40-an hingga 50-an itu ditahan ketika memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM di sini, lewat petang semalam.
"Hasil siasatan awal mendapati suspek utama yang merupakan Pengurus Bahagian Promosi dan Pemasaran pertubuhan tersebut telah menerima sebut harga daripada wakil syarikat yang terlibat untuk mendapatkan kelulusan daripada Pengerusi Pertubuhan.
"Pengerusi pertubuhan telah memberi kelulusan untuk melantik syarikat asing itu tanpa perbandingan harga ataupun melalui Lembaga Pengarah.
"Kontrak pembekalan baja bernilai kira-kira RM60juta secara runding terus telah dibuat dalam tempoh masa enam hari sahaja pada sekitar bulan Jun 2022 sedangkan syarikat asing itu tidak pernah mendapat apa-apa kerja daripada pertubuhan tersebut sebelum ini," katanya.
Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(a)Akta SPRM 2009
Sehingga hari ini seramai tiga individu telah ditahan termasuk seorang eksekutif pemasaran syarikat yang direman semalam sehingga 2 November 2024.
Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.8 bilion untuk perolehan baja pertanian negara.
#kartel baja #SPRM #identiti suspek #pertubuhan pertanian
;