SPRM reman 12 polis lindungi lori lebih muatan di Pulau Pinang
Astro Awani
Mac 11, 2020 19:12 MYT
Mac 11, 2020 19:12 MYT
Mahkamah Majistret George Town membenarkan permohonan reman selama tujuh hari terhadap 12 pegawai polis dari Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang yang dipercayai terlibat dalam kes melindungi pemandu lori lebih muatan.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Kanan, Nur Fadrina Zulkhairi pada Rabu.
Kesemua suspek direman mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Terdahulu, ke semua mereka dibawa SPRM menggunakan dua buah kenderaan tiba di perkarangan mahkamah pada jam 10.30pagi dan kemudiannya meninggalkan Kompleks mahkamah pada jam 12 tengah hari.
Pada Selasa, SPRM menahan 12 pegawai polis yang disyaki terlibat dalam kegiatan meminta rasuah bagi melindungi pemilik syarikat yang melanggar kesalahan jalan raya dan lain-lain kesalahan di sekitar Pulau Pinang.
Malah, mereka juga turut dikesan membocorkan maklumat operasi yang akan dan sedang dilaksanakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kesemua mereka berusia antara 31 hingga 59 itu ditahan sekitar jam 9 pagi hingga 5.55 petang Isnin di lapan lokasi berasingan sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Putrajaya.
Pada April 2019, sekurang-kurangnya 75 penguat kuasa dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di utara tanah air ditahan SPRM selepas disyaki menerima rasuah bagi melindungi pemandu lori lebih muatan.
#George Town
#kes mahkamah
#lindungi pemandu lori
#lori lebih muatan
#Mahkamah Majistret
#polir trafik