SPRM rampas wang tunai lebih RM2.5 bilion dalam masa empat bulan
Azyyati Ahmad
September 28, 2018 14:56 MYT
September 28, 2018 14:56 MYT
Lebih RM2.5 bilion wang tunai berjaya dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat empat bulan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mengambil alih tugasnya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Menurut Mohd Shukri, angka berkenaan tidak pernah dicapai pihaknya sebelum ini dan ia menunjukkan satu perkara yang menakutkan mengenai landskap rasuah di negara kita.
Katanya, nilai berkenaan hanya nilai wang tunai sahaja tidak termasuk aset yang disita seperti kereta, rumah dan rampasan lain.
"Sepanjang empat bulan saya mengambil alih jawatan Ketua Pesuruhjaya, seramai 336 orang telah ditangkap, 100 orang telah kita dakwa dan yang paling mengejutkan kita telah merampas lebih RM2.5 bilion. Itu duit sahaja. Satu jumlah yang tidak pernah kita capai sebelum ini dan ini satu perkara yang menakutkan,” katanya.
Beliau mendedahkan perkara berkenaan ketika sesi temubual di Radio Bernama di sini, hari ini.