SPRM rampas dokumen di DBKL

Sinar Harian
Jun 5, 2018 19:03 MYT
Dua anggota SPRM dilihat menolak dua dari lapan troli dokumen yang dirampas SPRM dari Menara 1 Ibu Pejabat DBKL hari ini. - BERNAMA
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas pelbagai dokumen bagi membantu siasatan berkaitan dengan penjualan 64 lot tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dianggarkan bernilai RM4.28 bilion, hari ini.
Difahamkan, lima pegawai dan anggota SPRM terbabit dalam pemeriksaan kira-kira jam 10.30 pagi, di bangunan Menara 1 DBKL di sini.
Menurut sumber, tindakan menyita dokumen itu sebagai tindakan susulan daripada siasatan yang mereka jalankan.
"Antara dokumen yang disita itu diambil daripada Jabatan Perancangan Ekonomi dan Pembangunan DBKL sebelum dibawa balik ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
"Kehadiran pihaknya di DBKL untuk mengambil dokumen berhubung perkara itu," katanya.
Terdahulu, Pakatan Harapan membuat satu laporan kepada SPRM Wilayah Persekutuan berhubung penjualan 64 lot tanah milik DBKL membabitkan keluasan 171.7 hektar di antara 2014 dan 2018.
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, berkata pengurusan tertinggi sebuah yayasan yang terbabit dalam pembelian tanah itu perlu disiasat SPRM berhubung peranannya dalam penjualan tanah berkenaan.
#DBKL #dokumen #rampas #Sinar Harian #SPRM
;