SPRM punyai ketelusan tertinggi kerana dipantau lima panel bebas
Bernama
Jun 21, 2021 15:03 MYT
Jun 21, 2021 15:03 MYT
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan satu-satunya institusi kerajaan yang memperlihat ketelusan tertinggi kerana dipantau oleh lima panel bebas, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil.
Menurutnya, SPRM dipantau oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR); Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR); Jawatankuasa Aduan (JKA); Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) dan Panel Penilaian Operasi (PPO).
"Mekanisme semak dan imbang ini secara tidak langsung membantu memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, ketelusan dan keberkesanan SPRM dalam pelaksanaan kewajipan fungsinya mengikut undang-undang yang ditetapkan," katanya dalam catatan beliau yang disiarkan oleh portal SPRM.
Katanya jika diteliti satu persatu fungsi kesemua lima panel tersebut, jelas sekali objektif pembentukannya dapat menangkis persepsi negatif terhadap SPRM.
Menurutnya, LPPR yang diwujudkan mengikut Seksyen 13 Akta SPRM 2009 merupakan panel yang bertanggungjawab menasihati SPRM dari segi dasar dan perjalanan organisasi.
Ahli-ahli LPPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong daripada kalangan individu yang berintegriti dan telah memberikan perkhidmatan awam yang cemerlang atau mencapai keunggulan dalam profesion masing-masing.
Menurutnya, JKMR yang diwujudkan mengikut Seksyen 14 Akta SPRM 2009 pula, ditugaskan membentangkan serta memberi nasihat kepada Perdana Menteri tentang prestasi SPRM pada tahun yang berkenaan.
JKA pula berperanan memantau salah laku yang dilaporkan terhadap pegawai SPRM yang tidak bersifat jenayah dan PPPR menasihati SPRM tentang aktiviti pencegahan dan aktiviti pendidikan masyarakat, katanya.
Menurutnya, PPPR diwujudkan secara pentadbiran dan dianggotai oleh individu yang dilantik oleh Perdana Menteri bagi mewakili pelbagai kumpulan masyarakat seperti ahli akademik, dewan perniagaan, pakar media, aktivis sosial dan pertubuhan yang diyakini dapat membantu SPRM mencapai matlamat mewujudkan masyarakat benci rasuah.
PPO pula akan memantau kes-kes SPRM termasuk memberi pandangan untuk sesuatu kes sebelum ditutup atau diteliti semula sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan penjelasan SPRM, katanya.
Shamshun Baharin memberikan contoh kes apabila SPRM mengheret seorang pegawainya ke mahkamah pada 15 Jun lepas atas dakwaan bersubahat meminta rasuah berjumlah RM100,000 yang jelas menunjukkan bahawa fungsi dan peranan panel bebas tersebut benar-benar berkesan.
"Tiada ruang untuk menyorok apa jua kesalahan dalam mana-mana siasatan termasuk yang dilakukan oleh pegawai SPRM sendiri, malah siasatan dilakukan secara telus dan profesional hasil pemantauan panel bebas berkenaan.
"Kesimpulannya, kewujudan kesemua panel bebas yang bukan daripada pegawai kerajaan ini juga, boleh dikategorikan sebagai wakil kepada rakyat bagi memantau SPRM dari semasa ke semasa," katanya.
--BERNAMA
#SPRM
#panel bebas
#Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan SPRM
#Rasuah
#Malaysia
#Yang di-Pertuan Agong
#Perdana Menteri
#Shamshun Baharin
#undang-undang
#LPPR
#Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah