SPRM, polis dan Bank Negara boleh siasat sebarang isu tanpa kelulusan Kabinet - Paul Low

Bernama
September 2, 2015 09:34 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan ketika menjadi panel pada bengkel Persidangan Antarabangsa Anti Rasuah (IACC) ke-16 di PICC hari ini. - Foto Bernama
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Bank Negara boleh menjalankan siasatan terhadap mana-mana isu tanpa kelulusan Kabinet atau Perdana Menteri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low.
Beliau berkata ketiga-tiga badan itu adalah bebas mengikut ketetapan di dalam Akta masing-masing yang diluluskan di Parlimen.
"Ketetapan di dalam Akta masing-masing membenarkan mereka menjalankan siasatan tanpa mengira sama ada Perdana Menteri bersetuju atau tidak.
"Penyiasatan dijalankan mereka tidak diarahkan oleh Perdana Menteri atau Kabinet," katanya kepada soalan diajukan seorang anggota Parlimen daripada Kenya dalam satu sesi pada Persidangan Anti-Rasuah Antarabangsa (IACC) kali ke-16 di sini hari ini.
Anggota Parlimen Kenya itu bertanya kepada beliau mengenai siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan sama ada siasatan sedang berjalan.
Low berkata selagi beliau menjadi menteri, beliau akan memastikan kebebasan ketiga-tiga badan itu dilindungi.
Terdahulu beliau membentangkan kertas kerja bertajuk "Country Experience in Dealing with Governance and Corruption' (Pengalaman Negara Dalam Menguruskan Tadbir Urus dan Rasuah) pada sesi bengkel IACC.
Ditanya mengenai perhimpunan Bersih 4 pada hujung minggu lepas, Low berkata kerajaan bersikap terbuka terhadap perhimpunan tetapi ia perlu "mempunyai tujuan yang betul).
"Jika anda mahu mengadakan (perhimpunan) untuk menentang rasuah, tiada masalah. Jika ia mengenai ketidakadilan, juga tiada masalah. Tetapi tujuan sebenar Bersih 4 ialah mereka mahu perdana menteri meletak jawatan dan mereka mahukan kerajaan sementara, dan dalam masa setahun mereka mahukan pilihan raya baharu. Ia adalah Arab Spring mini.
"Ya, anda mungkin berasa marah, tetapi jika anda mahu meruntuhkan kerajaan yang berkuasa, ia berbeza. Sebab itu perhimpunan itu tidak dibenarkan," katanya sambil menjelaskan waktu dan venue perhimpunan yang dipilih bertembung dengan sambutan Hari Kebangsaan.
Persidangan yang dihadiri kira-kira 1,000 peserta daripada 130 negara itu akan berlangsung tiga hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Putrajaya di sini.
#IACC #Paul Low #PDRM #Persidangan Anti-Rasuah Antarabangsa #polis #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah