SPRM perlu diberi kebebasan untuk laksana tanggungjawab - Paul Low
Mariah Ahmad
Ogos 6, 2015 14:36 MYT
Ogos 6, 2015 14:36 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara perlu diberi kebebasan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka secara profesional tanpa gangguan mana-mana pihak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Paul Low Seng Kuan berkata integriti badan ini akan memberi kesan kepada keyakinan rakyat terhadap imej kerajaan.
Paul berkata institusi kerajaan ini seharusnya dibenarkan melakukan tugasan mereka tanpa perlu rasa takut atau bertindak berat sebelah.
“Orang ramai sedang memerhati keadaan ini dan keadaan ini akan memberi impak kepada keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Yang kedua adalah komuniti antarabangsa, mereka juga sedang melihat keadaan ini.
“Jadi, adalah amat penting untuk menjaga entiti institusi-institusi untuk mereka melakukan kerja mereka tanpa berat sebelah,” tambah beliau dalam satu sidang media selepas memberi ucaptama Sidang Tahunan Malaysian Institute Of Chartered Secretaries and Administrator (MAICSA) pada Khamis.
Paul berkata demikian ketika mengulas serbuan Polis Diraja Malaysia PDRM ke atas SPRM baru-baru ini.
Tambah Paul, serbuan PDRM itu sepatutnya dilakukan dengan cara yang lebih baik dan dihormati.
“Saya percaya mereka (PDRM) sepatutnya melakukan tugasan mengikut cara dengan lebih baik kerana perkara itu bukan akan berlaku kepada agensi kerajaan (SPRM) tetapi mereka juga perlu memberi layanan yang lebih baik dan dihormati kepada orang awam jika mereka disiasat. Jadi saya percaya, SPRM ini sepatutnya dihormati dengan sebaiknya," katanya.
Jelas Paul, PDRM juga perlu berhati-hati dalam menjaga dokumen-dokumen SPRM ketika melakukan siasatan.
"SPRM kini dalam melakukan proses penyiasatan. Jadi sebahagian dokumen itu mungkin sangat penting buat mereka untuk meneruskan siasatan.
“Justeru itu, pihak polis harus lebih berhati-hati untuk memastikan dokumen-dokumen ini tidak hilang dan memastikan dokumen ini dipulang kembali kepada SPRM selepas mereka selesai dengan siasatan mereka. Jika tidak, bagaimana SPRM mahu meneruskan siasatan mereka?" katanya lagi.
Sebelum ini Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan SPRM Datuk Mustafar Ali mengakui siasatan terhadap kes SRC International Sdn Bhd terjejas akibat penahanan tiga pegawai SPRM pada Rabu.
Pada 5 Mac lalu, sebuah pasukan khas telah ditubuhkan bagi menyiasat kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).