SPRM: Pegawai kanan agensi kerajaan dan suami ditahan bantu siasatan bocor maklumat tender
Bernama
Mac 23, 2022 18:43 MYT
Mac 23, 2022 18:43 MYT
PUTRAJAYA: Seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan berkaitan infrastruktur dan suaminya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan kes pembocoran maklumat membabitkan tender agensi itu bernilai lebih RM1.2 juta.
Menurut sumber SPRM, wanita berkenaan yang terbabit dalam pemilihan kontrak agensi itu dipercayai membocorkan maklumat tender bernilai RM1.2 juta dengan balasan syarikat milik suaminya dilantik sebagai subkontraktor kepada sebuah lagi syarikat yang berjaya mendapat projek berkaitan sistem elektronik pada 2020.
Menurut sumber SPRM itu, suami isteri yang masing-masing berumur 44 tahun dan 42 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM di sini petang semalam.
Pasangan itu kini ditahan reman sehingga 27 Mac ini setelah perintah reman terhadap mereka dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas mendengar permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Sumber SPRM itu berkata pasangan suami isteri itu ditahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA