SPRM panggil 24 lagi penguat kuasa JPJ Pulau Pinang bantu siasatan
Dewi Nur Harasha Alias
April 23, 2019 11:10 MYT
April 23, 2019 11:10 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM ) hari ini mengambil keterangan 24 penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung kegiatan rasuah melindungi pemandu lori.
Mereka adalah kumpulan ketiga yang diminta hadir bagi memberi keterangan kepada SPRM.
Menurut sumber, semua penguat kuasa itu terdiri daripada anggota dan pegawai gred 19 hingga 32 itu hadir di Pejabat SPRM Pulau Pinang untuk memberi keterangan kira-kira jam 9 pagi tadi.
Sabtu lepas, 22 penguatkuasa JPJ dipanggil untuk direkodkan keterangan namun hanya lima daripadanya ditahan reman pada Ahad.
Mereka dipercayai turut terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar negeri itu.
Setakat ini, lebih 50 tangkapan melibatkan anggota dan pegawai penguatkuasa JPJ serta orang awam dibuat bagi membantu siasatan kes tersebut.