SPRM mulakan siasatan projek 1BestariNet

Bernama
September 4, 2024 18:24 MYT
Menurut sumber memetik Bernama, SPRM telah membuat penggeledahan di pejabat kerajaan dan pejabat YTL Communications Sdn Bhd di ibu negara pada Rabu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pendidikan bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada 2011.
Menurut sumber, SPRM telah membuat penggeledahan di pejabat kerajaan dan pejabat YTL Communications Sdn Bhd di sini hari ini.
Beliau berkata hasil penggeledahan itu, sejumlah dokumen disita dan SPRM sedang mengkaji untuk mengenal pasti saksi-saksi yang akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.
"Siasatan menjurus kepada mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi butir matan palsu melibatkan pembayaran kira-kira RM2.7 bilion," katanya kepada Bernama.
Sumber terbabit memaklumkan fokus siasatan SPRM juga menjurus kepada elemen jenayah lain yang tertakluk di bawah Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Hishamuddin dalam pada itu, memohon semua pihak agar memberi ruang dan masa kepada SPRM bagi melaksanakan siasatan tanpa sebarang gangguan.
-- BERNAMA
#YTL Corporation Sdn Bhd #1BestariNet #SPRM #Hishamuddin Hashim k