SPRM mulakan siasatan penjualan tanah lapangan terbang Sri Iskandar
Sinar Harian
April 6, 2022 12:47 MYT
April 6, 2022 12:47 MYT
IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak telah memulakan siasatan berhubung penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar.
Pengarah SPRM negeri, Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, siasatan tersebut dibuat selepas pihaknya menerima aduan rasmi yang dilkemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi pada Selasa.
Menurutnya, beberapa individu yang terlibat berkaitan isu tersebut akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
"Siasatan ini dibuat bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.
"Individu-individu yang terlibat akan dipanggil untuk membantu SPRM dalam masa terdekat," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Mohd Fauzi bagaimanapun tidak mendedahkan individu-individu yang akan dipanggil oleh SPRM bagi membantu siasatan tersebut.
Pada Selasa, Asmuni bersama tiga lagi bekas Exco kerajaan negeri ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) iaitu ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How dan ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing hadir ke Pejabat SPRM Perak bagi mengemukakan aduan rasmi berhubung isu tersebut.
Howard Lee dalam sidang akhbar selepas itu menjelaskan tindakan tersebut dibuat bagi meminta siasatan lengkap dibuat terhadap isu tersebut memandangkan penjualan tanah dibuat tanpa melalui mesyuarat Exco seterusnya membersihkan nama PH.
ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN