SPRM mohon Interpol tangkap Jho Low
Astro Awani
Februari 11, 2020 12:00 MYT
Februari 11, 2020 12:00 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memaklumkan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap dalang utama skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau Jho Low.
Tidak ketinggalan, SPRM juga memohon waran tangkap ke atas dua bekas pengarah Petrosaid, Tarek Obaid dan Patrick Mahony.
Permohonan itu dibuat selepas SPRM memfailkan pendakwaan in absentia (tanpa kehadiran) tiga individu itu untuk kes pengubahan wang haram dana 1MDB melibatkan nilai AS$69 juta.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, permohonan waran tangkap itu dibuat sebagai sebahagian daripada siasatan dan usaha mendapatkan semula dana 1MDB dan SRC International yang sedang berjalan.
"Ini sebahagian proses di mana kita mendakwa mereka yang mungkin ada akses kepada perincian wang tersebut," kata Latheefa Koya di Putrajaya pada Selasa.
Latheefa juga berkata, SPRM akan mengeluarkan maklumat pendakwaan tersebut secara rasmi dalam masa terdekat.
Ini merupakan waran tangkap kedua terhadap Jho Low, yang didakwa sebagai dalang utama skandal 1MDB.
Obaid dan Mahony pula adalah bekas pengarah Petrosaudi International Limited (PSI).
#1 Malaysia Development Berhad
#1MDB
#Interpol
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
#waran tangkap Jho Low