SPRM minta JIM beku pasport menantu Muhyiddin

Sinar Harian
Ogos 9, 2023 13:01 MYT
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mengadakan sidang media sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM di Menara Penguatkuasa hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meminta bantuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk membekukan pasport Datuk Muhammad Adlan Berhan sekiranya masih gagal dihubungi atau tidak mendapat sebarang maklum balas.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan tegas itu perlu dilaksanakan bagi memastikan menantu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin itu bersama seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat rasuah dan penyelewengan berhubung projek di sebuah kementerian dapat dibawa pulang, seterusnya dibicarakan di mahkamah.
Beliau berkata, pihaknya mempercayai Muhammad Adlan dan bersama seorang lagi individu dikehendaki SPRM, Mansoor Saat ketika ini berada di luar negara, setelah semakan dibuat mendapati masing-masing keluar dari Malaysia pada 17 dan 21 Mei lalu.
"SPRM tidak boleh berkongsi maklumat berhubung lokasi yang dituju oleh mereka, tetapi apa yang pasti mereka masih di luar negara.
"Kita mengesyaki mereka berada di sebuah negeri (di luar negara), maka tindakan yang boleh diambil adalah meminta JIM membekukan pasport kedua-duanya sekiranya masih gagal memberi sebarang maklum balas," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis perbarisan tamat latihan kursus asas pegawai SPRM Siri 27 (Penguasa P41) di Padang Kawad Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dekat sini.
Muhammad Adlan dan Mansoor merupakan individu dikehendaki SPRM bagi membantu siasatan isu rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.
Mengulas lanjut, Azam berkata, antara tindakan lain yang mungkin dilakukan oleh SPRM bagi membawa balik kedua-dua individu tersebut adalah meminta bantuan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol).
Kata beliau, tindakan tersebut akan dilakukan dalam tempoh terdekat sekiranya SPRM masih tidak menerima sebarang maklumat lanjut.
Tambahnya, kedua-duanya juga akan dimasukkan sebagai 'red notice' atau orang dikehendaki kerana diperlukan untuk tindakan mahkamah.
Ditanya sama ada kedua-dua cuba melarikan diri atau pergi bercuti atau sebarang kemungkinan lain, Azam secara berseloroh berkata, sama ada melarikan diri atau tidak, semua orang boleh tahu tujuannya.
"Tuan-tuan fikir sendirilah. Kalau SPRM sudah keluarkan senarai dikehendaki, maknanya dia gagal hadir ke pejabat SPRM bagi membuat rakaman percakapan.
"Oleh itu, terdapat kemungkinan dia dan seorang lagi individu cuba melarikan diri," ujarnya.
Jelas beliau, SPRM sebelum ini sudah melakukan pelbagai usaha bagi mendapatkan kedua-dua suspek.
Kata beliau, ia termasuk berhubung terus dengan kedua-dua penama dan peguam masing-masing, namun kedua-duanya masih gagal menghadirkan diri ke pejabat SPRM.
Ditanya sama ada Muhyiddin akan dipanggil bagi membantu usaha mengesan dan membawa pulang Muhammad Adlan, Azam berkata, perkara itu bergantung kepada proses siasatan.
Menurutnya, sekiranya keterangan Muhyiddin diperlukan oleh SPRM, maka Pengerusi PN itu akan dipanggil bagi membantu siasatan.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#SPRM #menantu Muhyiddin #Azam Baki #Jabatan Imigresen Malaysia
;