SPRM lipat ganda usaha perangi rasuah sebagaimana titah Agong

Bernama
Mac 7, 2017 23:27 MYT
DZULKIFLI: SPRM akan terus melipatgandakan usaha memerangi penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong semalam. - Gambar fail
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus melipatgandakan usaha memerangi penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata agensi itu juga bertekad untuk membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan seiring dengan titah baginda.
"Sebagai satu-satunya agensi penguatkuasa yang dipertanggungjawabkan untuk memerangi rasuah di negara ini, SPRM akan memastikan titah Seri Paduka terlaksana sepenuhnya menggunakan segala kemampuan yang ada," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sultan Muhammad V dalam titah baginda ketika perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat, menzahirkan rasa dukacita kerana masih berlaku penyelewengan, ketirisan dan rasuah serta pembocoran maklumat kerajaan yang melibatkan penjawat dan bekas penjawat awam.
Seri Paduka bertitah walaupun kegiatan itu dilakukan segelintir mereka yang terbabit, namun ia menghakis kepercayaan rakyat kepada kerajaan.
Menurut Dzulkifli, SPRM menjunjung titah Seri Paduka sebagai satu cabaran untuk SPRM melaksanakan tugas memerangi rasuah dengan lebih komited dan efisien.
Sehubungan itu beliau berharap rakyat Malaysia khususnya seluruh jentera kerajaan untuk bersama-sama tanpa kompromi, berganding bahu bersama SPRM untuk melaksanakan titah baginda.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat #Rasuah #SPRM #Yang di-Pertuan Agong
;