SPRM kumpul bukti kes penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar

Bernama
April 8, 2022 16:50 MYT
Mohd Fauzi berkata SPRM telah mendapatkan dokumen berhubung penjualan tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), seluas 188 hektar itu. - Gambar hiasan
IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak sedang mengumpulkan bukti dan keterangan bagi melengkapkan siasatan, berhubung dakwaan isu penjualan tanah untuk tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.
Pengarah SPRM negeri Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata pihaknya telah mendapatkan dokumen berhubung penjualan tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), seluas 188 hektar itu.
"Kita sedang mengkaji dokumen-dokumen yang diperolehi daripada beberapa jabatan berkaitan, dan siasatan ketika ini menjurus kepada Seksyen 23 Akta SPRM 2009," katanya ringkas ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Jual Tanah | MB, UMNO tidak perlu buat laporan - Saarani
BACA: Tanah lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar dijual semasa zaman PH - Saarani
BACA: Tanah lapangan terbang: 'Saya tidak akan menari ikut gendang orang' - Saarani
Beliau enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenai dokumen tersebut, selain pihaknya belum lagi membuat sebarang penahanan atau memanggil mana-mana pihak berhubung kes berkenaan.
Sebelum ini Mohd Fauzi dilaporkan berkata siasatan itu dilakukan susulan aduan rasmi yang diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi Datuk Asmuni Awi, pada 5 April lepas.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad pula dilaporkan berkata tanah itu telah dijual kepada sebuah syarikat swasta semasa pentadbiran kerajaan PH, kerana ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) ia dirizabkan kepada PKNP bagi tujuan pembinaan lapangan terbang antarabangsa.
Sebelum ini, ADUN Aulong Nga Kor Ming semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Perak mendakwa, cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar telah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri, dan berkata perkara itu adalah salah laku serius serta mahu pihak bertanggungjawab menjual tanah tersebut diheret ke muka pengadilan.
-- BERNAMA
#SPRM #Lapangan Terbang Antarabangsa #Seri Iskandar #Saarani Mohamad
;