SPRM kesan Mohammad Zyed Ibrahim untuk bantu siasatan kes penyeludupan
Bernama
Mac 18, 2024 00:20 MYT
Mac 18, 2024 00:20 MYT
KUALA LUMPUR: Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes Op Samba 2.0 yang melibatkan sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak.
SPRM dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan lelaki itu ialah Mohammad Zyed Ibrahim, 38, dengan alamat terakhir di Blok A-17-29 Mesahill Apartment Persiaran Ilmu, Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.
"Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki ini diminta menghubungi pegawai penyiasat Mohammad Riduwan Mohammad Radzi di talian 016-460 3096 atau e-mel kepada mriduwan@sprm.gov.my," menurut kenyataan itu.
Pada Ahad, sumber SPRM memaklumkan 11 individu termasuk penjawat awam, individu perantara dan tiga pemilik syarikat dengan dua daripada mereka bergelar 'Datuk' telah ditahan sekitar Lembah Klang sejak Isnin lepas kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan tembakau, arak serta rokok.
Kegiatan penyeludupan sindiket terbabit dipercayai telah menyebabkan ketirisan hasil cukai yang dianggarkan lebih RM400 juta dan melibatkan wang rasuah lebih RM8 juta kepada beberapa individu termasuk penjawat awam bagi melancarkan aktiviti itu.
-- BERNAMA