SPRM kembali jadi tumpuan, Ismail Sabri sambung beri keterangan petang ini
Faida Rahim
Mac 14, 2025 16:12 MYT
Mac 14, 2025 16:12 MYT
Ismail Sabri keluar dari bangunan SPRM pada jam 12.30 tengah hari tadi selepas lebih empat jam direkod keterangan.
PUTRAJAYA: Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini kembali menjadi tumpuan media petang ini bagi perkembangan kes rasuah dan penggubahan wang haram melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Kenderaan jenis Audi berwarna hitam membawa Ahli Parlimen Bera itu tiba kira-kira jam 3.25 petang sambil diiringi anggota polis pengiring.
Terdahulu, Ismail Sabri keluar dari bangunan SPRM pada jam 12.30 tengah hari tadi selepas lebih empat jam direkod keterangan.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai sedang meneliti ratusan dokumen penting, termasuk berkaitan harta benda Perdana Menteri kesembilan itu.
Antara dokumen berkenaan membabitkan aset-aset yang diisytiharkan Ahli Parlimen Bera itu pada 10 Februari lalu.
Semalam, Ismail Sabri hadir ke Ibu Pejabat SPRM dan diambil keterangan sekurang-kurangnya lima jam oleh pegawai penyiasat, selepas menunda sesi itu beberapa kali atas faktor kesihatan.
Dalam sidang media minggu lalu, SPRM mendedahkan penemuan wang tunai pelbagai mata wang dan jongkong emas yang secara keseluruhannya berjumlah RM177 juta.
Pendedahan itu dibuat menerusi siri serbuan membabitkan tiga premis, termasuk sebuah 'safe house' di sekitar ibu negara yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan berkenaan.
Semua hasil rampasan itu juga turut dikaitkan dengan perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti program sewaktu beliau mentadbir kerajaan.