SPRM Kelantan tahan dua individu buat tuntutan palsu lebih RM132,000

Bernama
Disember 19, 2016 06:22 MYT
Pengarah SPRM Kelantan Datuk Moh Samsuddin Yusoff berkata kedua-dua lelaki terbabit ditahan di pejabat masing-masing di sini, pada 2 petang semalam. - Astro AWANI / Syamim Hasni
Seorang pengurus syarikat swasta berusia 49 tahun dan rakannya berusia 45 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan berhubung tuntutan palsu melebihi RM132,000.
Pengarah SPRM Kelantan Datuk Moh Samsuddin Yusoff berkata kedua-dua lelaki terbabit ditahan di pejabat masing-masing di sini, pada 2 petang semalam.
"Penahanan dua individu itu berkaitan tujuh dokumen invois tuntutan palsu yang dibuat kepada jabatan kerajaan.
"Bagaimanapun kedua-duanya dibebaskan pada hari yang sama dengan jaminan RM10,000 seorang dengan seorang penjamin," katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan tuntutan palsu dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana memalsukan dokumen. - BERNAMA
#ditahan SPRM #invois tuntutan palsu #SPRM #tuntutan palsu