SPRM Kelantan dakwa tujuh individu sehingga September tahun ini
Bernama
Oktober 8, 2016 18:44 MYT
Oktober 8, 2016 18:44 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kelantan telah mendakwa tujuh individu di mahkamah atas kesalahan berkaitan rasuah sejak Januari hingga September tahun ini, kata Pengarahnya Datuk Moh Samsudin Yusof.
Moh Samsudin berkata pendakwaan itu dilakukan selepas membuat tangkapan terhadap 12 individu membabitkan orang awam, penjawat awam dan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara Peringkat Jajahan Gua Musang di Dataran Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Putra di sini, hari ini.
Pelancaran Hari Sukan Negara itu disempurnakan Anggota Dewan Undangan Negeri Galas Ab Aziz Yusof.
Moh Samsudin berkata tujuh individu terbabit didakwa di bawah Akta SPRM 2009 yang boleh didenda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi dan penjara maksimum sehingga 20 tahun.
Beliau berkata pihaknya juga sentiasa menganjurkan lebih banyak program kesedaran rasuah kepada masyarakat setempat bagi mengelak mereka terjebak dengan jenayah itu.
"Kita harap rakyat khususnya kakitangan awam dan swasta di negeri ini tidak mengamalkan budaya rasuah dan kita akan membuka kertas siasatan apabila menerima aduan," katanya.