SPRM, JPJ sita 153 kenderaan 'klon' bernilai lebih RM13 juta

Astro Awani
April 21, 2015 23:48 MYT
Kenderaan-kenderaan ini dilarang diimport tanpa kebenaran khas ke negara ini kecuali dalam bentuk alat ganti terpakai. -Gambar hiasan
Hasil kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah membawa kepada penyitaan sebanyak 153 kenderaan diklon iaitu kenderaan yang menggunakan cukai jalan palsu dan tidak berdaftar secara sah di JPJ.
Hasil intipan dan risikan yang dijalankan selama lima bulan sejak November, SPRM telah berjaya menangkap tiga individu, warga tempatan berusia dalam lingkungan 20an, dipercayai bertindak sebagai orang tengah.
Kenderaan yang disita ini antara lain terdiri daripada BMW, Lexus, Mercedes Benz, Honda, Toyota, Subaru, Mitsubishi, Mazda, Nissan, Mini Cooper, Volkswagen dan Volvo yang dipercayai diseludup dari negara jiran.
Nilai keseluruhan kenderaan-kenderaan ini dianggarkan lebih RM13 juta.
“Ketiga-tiga individu ini telah ditahan reman antara empat hingga tujuh hari bagi membantu siasatan sejak 8 April.
“Kesemua kenderaan itu termasuk dua buah motosikal kuasa tinggi disita di pelbagai lokasi di Negeri Terengganu,“ kata SPRM dan JPJ dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Kesemua kenderaan tersebut telah dikategorikan sebagai kenderaan lusuh di negara asal dan dijual antara RM20,000 hingga RM50,000 di Malaysia. Bermakna kenderaan ini tiga kali lebih murah daripada harga pasaran.
Kenderaan-kenderaan ini dilarang diimport tanpa kebenaran khas ke negara ini kecuali dalam bentuk alat ganti terpakai.
“Kenderaan-kenderaan ini telah diseludup dan diklonkan dengan menggunakan nombor pendaftaran yang sama dengan kenderaan asal di Malaysia. Yang membezakan hanyalah nombor chasis dan nombor enjin.
“Pemeriksaan SPRM dan JPJ mendapati kenderaan-kenderaan yang diseludup masuk ini menggunakan sama ada nombor plat pendaftaran kenderaan yang masih aktif dan sah di jalan raya atau menggunakan nombor pendaftaran kenderaan yang telah dikategorikan sebagai ‘total loss’,” kata kenyataan itu.
Kata kenyataan itu lagi, kenderaan klon ini mengakibatkan wujudnya dua atau tiga kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran yang sama.
“Sindiket ini menggunakan model pemasaran dalam talian, khususnya Facebook untuk menarik pelanggan masing-masing di mana pembelian adalah secara tunai.
Minggu lalu, SPRM Negeri Sembilan telah menahan tujuh orang di Seremban dan Johor Bharu dan merampas 14 kenderaan.
SPRM dan JPJ memohon pemilik kenderaan lusuh atau klon supaya menyerahkan secara sukarela kenderaan dalam milikan mereka kepada SPRM atau JPJ yang berhampiran.
Tindakan undang–undang akan diambil sekiranya gagal berbuat demikian.
Siasatan ini dijalankan ini menjurus kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Kanun Keseksaan serta Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2013).
Pembeli dan pemilik kenderaan ini boleh didakwa bersubahat dalam proses pengeluaran dokumen palsu.
#cukai jalan palsu #JPJ #kenderaan klon #SPRM #tidak berdaftar
;