SPRM Johor tahan bekas pegawai kewangan berkaitan tuntutan palsu RM720,000

Bernama
Februari 16, 2017 15:09 MYT
Seorang bekas pegawai kewangan sebuah syarikat swasta ditahan SPRM Johor hari ini kerana dipercayai mengemukakan tuntutan palsu. - Gambar fail
Seorang bekas pegawai kewangan sebuah syarikat swasta ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor hari ini kerana dipercayai mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM720,000.
Penahanan lelaki berusia 33 tahun itu dilakukan pada 1 tengah hari ini ketika hadir di ibu pejabat SPRM negeri di sini untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes terbabit.
Menurut sumber, suspek dipercayai mengemukakan tuntutan palsu berhubung import dan eksport bahan kimia itu dari 2014 hingga 2016.
Menurutnya, setakat ini, kira-kira RM430,000 daripada nilai tuntutan yang dibuat telah berjaya dikesan oleh pasukan siasatan dan percaya terdapat lagi wang yang disembunyikan suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana yang lebih tinggi.
Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok untuk permohonan reman.
-- BERNAMA
#Datuk Azmi Alias #Mahkamah Majistret Johor Bahru #Seksyen 18 Akta SPRM 2009 #SPRM