SPRM jawab isu Azam Baki Rabu ini

Astro Awani
Januari 3, 2022 23:37 MYT
Abu Zahar berkata beliau akan memperjelaskan isu ketidakwajaran yang didakwa berkaitan dengan Azam dan kepentingan perniagaannya. - Astro AWANI / Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia untuk menjelaskan dakwaan konflik kepentingan yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki dalam satu sidang media pada Rabu ini.
Memetik laporan The Vibes, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata beliau akan memperjelaskan isu ketidakwajaran yang didakwa berkaitan dengan Azam dan kepentingan perniagaannya.
"Saya akan mengadakan sidang akhbar pada hari Rabu ini, jadi lebih baik anda datang supaya saya boleh memberitahu semuanya, bukan sahaja kepada anda, tetapi kepada semua orang yang mengambil berat tentang perkara ini," katanya dilapor The Vibes.
BACA: Isu Azam Baki: Perdana Menteri tidak boleh terus berdiam diri - Gobind Singh
BACA: Sikap berdiam diri SPRM, Azam akan jadi 'nanah' dalam organisasi
Abu Zahar bagaimanapun tidak memperincikan sama ada sidang media itu akan turut dihadiri Azam dan Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Tan Sri Borhan Dolah.
Sidang media berkenaan akan diadakan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 2.30 petang.
Perkembangan ini adalah susulan dakwaan bekas Ahli Panel SPRM, Edmund Terence Gomez mengenai suruhanjaya itu yang kononnya ingin menutup dakwaan salah laku Azam dan menuduh Abu Zahar serta Borhan tidak menyiasat isu itu secara telus.
Gomez meletak jawatan sebagai panel SPRM pada 27 Disember lepas, selepas mendakwa aduan dan permintaannya untuk bertemu dan membincangkan isu Azam tidak dipedulikan.
#SPRM #Azam Baki #Rasuah #Abu Zahar Ujang
;