SPRM jadi tonggak utama kerajaan pertahan sistem tadbir urus berintegriti - PM Anwar

Bernama
Februari 13, 2025 23:55 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Makan Malam Beristiadat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2025 di World Trade Centre Kuala Lumpur malam ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi antara tonggak utama kerajaan untuk mempertahankan sistem tadbir urus yang bersih dan berintegriti sekali gus menyelamatkan negara daripada masalah rasuah.

Ringkasan AI
  • Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan SPRM diberi kuasa penuh untuk bertindak terhadap rasuah tanpa halangan.
  • Beliau menekankan usaha memperkasakan SPRM dengan undang-undang yang lebih kuat, merujuk kepada kejayaan Hong Kong membanteras rasuah.
  • Anwar berjanji tidak akan berkompromi dalam memerangi rasuah demi memastikan Malaysia bebas daripada salah guna kuasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan MADANI di bawah pimpinannya tidak akan sesekali berkompromi dalam isu berkenaan dan untuk itu, beliau telah memberi kuasa penuh kepada SPRM untuk bertindak tanpa halangan terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa.
"Saya telah beri mesej yang jelas bahawa tidak wajar lagi diizinkan perolehan tanpa kawalan dan SPRM diberi kebebasan penuh untuk menggeledah, membongkar dan mengambil tindakan.
"Saya bersyukur kerana walaupun terdapat sanggahan di luar, saya paling hormat pimpinan dan keluarga besar SPRM kerana telah memikul amanah yang sukar, tidak senang ini," kata beliau yang turut menyifatkan masalah rasuah di Malaysia sudah berakar dan hampir menjadi budaya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Beristiadat SPRM 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini malam ini, yang turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Mengakui mempunyai sejarah tersendiri dengan SPRM yang sebelum ini dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR), Anwar berkata membanteras rasuah bukanlah satu tugas mudah kerana sistem dan pimpinan politik kadangkala tidak semuanya serasi.
Oleh itu, ketika menjadi sebahagian daripada anggota Kabinet dalam kerajaan terdahulu, beliau telah mengutamakan usaha untuk memperkasakan BPR dengan pindaan undang-undang, penambahan pegawai, serta sokongan kewangan yang mencukupi.
"Saya katakan kepada BPR kalau serius dalam menangani masalah rasuah, kita mesti ada iltizam untuk membawa beberapa perubahan. Jadi, kita (kerajaan) kirim (hantar) pasukan ke Hong Kong kerana negara itu mempunyai sejarah mengenai rasuah.
"Tahun 60-an, 70-an Hong Kong terkenal sebagai negara yang paling tinggi jenayah dan rasuah. Maka, ada keputusan pada ketika itu menubuhkan Hong Kong Anti-Corruption Commission. Suruhanjaya itu diperkasakan dengan peruntukan undang-undang yang kemas dan kukuh, lengkap dengan jentera serta pegawai.
"Dengan tiga faktor ini, kebebasan mereka dalam rasuah berubah dalam masa lapan tahun dan Hong Kong berubah wajah sebagai sebuah negara yang bersih. Saya terkesan dengan laporan itu," kata beliau.
Anwar juga memberi jaminan selagi mampu melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri, beliau tidak akan bertolak ansur dalam usaha memerangi rasuah demi memastikan Malaysia mampu menjadi negara yang bersih daripada rasuah dan salah guna kuasa, dalam masa terdekat.
-- BERNAMA
#SPRM #tonggak utama #sistem tadbir urus #Perdana Menteri Anwar Ibrahim
;