SPRM disaran siasat 40 MP UMNO akan sertai Bersatu
Bernama
Oktober 29, 2018 18:23 MYT
Oktober 29, 2018 18:23 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disaran menyiasat dakwaan 40 Anggota Parlimen UMNO diramal keluar parti dan menyertai Bersatu bagi mengelakkan kemungkinan terdapatnya unsur rasuah.
Naib Pengerusi DAP Perak, Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata langkah itu perlu kerana dibimbangi jika ia ada melibatkan janji tawaran jawatan dan sebagainya.
Katanya, daripada segi undang-undang tiada peruntukan yang boleh menyekat penghijrahan wakil rakyat pembangkang ke parti dalam kerajaan.
"Namun begitu dari segi moral, perkara ini tidak baik jika benar kerana mereka dipilih sebagai wakil rakyat atas tiket parti asal dan jika mereka melompat sesuka hati, senario ini tidak sihat untuk kestabilan politik negara.
"Apakah janji dibuat kepada mereka dan adakah tawaran jawatan dan sebagainya? Spekulasi ini saya fikir mungkin SPRM boleh siasat dan teliti perkembangannya," katanya dalam sidang media selepas merasmikan persidangan perwakilan Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia (Keptan) di sini, hari ini.
Abdul Aziz yang juga Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri mengulas kenyataan Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin yang mendakwa kesemua anggota UMNO itu dikatakan berpotensi berbuat demikian kerana sudah beberapa kali berjumpa dengan kepimpinan tertinggi parti.
Selain itu, Abdul Aziz berkata penghijrahan wakil rakyat UMNO beramai-ramai ke dalam parti dalam Pakatan Harapan perlu ditangani dengan baik.
Beliau turut meminta rakyat supaya menyuarakan pandangan dan suara mereka terhadap spekulasi ini di samping mengingatkan media untuk melaporkannya secara objektif tanpa disulami agenda tersendiri. -- Bernama