SPRM diminta siasat kegagalan projek jalan di Sarawak
Astro Awani
Disember 13, 2018 12:45 MYT
Disember 13, 2018 12:45 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat penyelewengan satu projek menaik taraf jalan di pedalaman Sarawak.
Menurut sumber, projek itu dikatakan tidak menepati piawaian selain gagal disiapkan mengikut waktu yang ditetapkan dipercayai disebabkan oleh faktor rasuah.
Jelasnya, projek melibatkan seorang penjawat awam bergelar Datuk Seri itu bermula pada tahun 2009 dan sepatutnya disiapkan pada 31 September 2011.
Dakwanya, projek itu sepatutnya memberi keselesaan dan menambah mutu kehidupan penduduk pedalaman negeri berkenaan.
"Bagaimanapun, projek bernilai RM250 juta itu dibina menggunakan bahan yang bermutu rendah kerana mengalami kerosakan tidak sampai beberapa tahun selepas ia dibina," katanya di sini, pada Khamis.
Jelas sumber itu lagi, Datuk Seri yang pernah menerajui sebuah kementerian itu menggunakan aset agensi berkenaan untuk mengendalikan projek tersebut bagi menjimatkan kos dan menggelapkan wang lebihan.